Kesejahteraan sesebuah keluarga itu bermula daripada suami isteri itu sendiri. Sebab itulah pelbagai ikhtiar terutamanya daripada segi kerohanian seperti doa pengikat kasih sayang perlu diamalkan supaya rumah tangga akan kekal bahagia.
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”
Kata-kata diatas sangat sesuai untuk menggambarkan kepada kita semua bahawa alam rumah tangga ini penuh dengan ujian dan juga cabaran. Sekalipun semuanya dibina atas dasar cinta, namun pastinya ada ketika tidak dapat untuk mengelak daripada tersakiti satu sama lain.
Doa Pengikat Kasih Sayang
Sebab itulah dalam melayari bahtera, kita tetap perlukan bantuan daripada Allah S.W.T. Antara yang boleh diamalkan adalah doa pengikat kasih sayang suami isteri. Jom baca perkongsian daripada kami kali ini.
1. Doa Memohon Kesejahteraan Rumah Tangga
Antara ayat al-Quran yang anda boleh amalkan sebagai doa harian anda sebagai doa kasih sayang adalah ayat 128 dan 129 surah At-Taubah.
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman” – At-Taubah, 128.
“Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (Wahai Muhammad): “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar”. – At-Taubah, 129
Baca ayat ini sebanyak 7 kali setiap kali selesai solat fardhu, dengan izin Allah S.W.T akan dipermudahkan bukan sahaja urusan rumah tangga malah segala urusan dunia dan akhirat.
2. Doa Kasih Sayang Berpanjangan
“Allah Maha Lembut terhadap hamba-hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Kuat, Maha Perkasa”. – As-Shura, 19.
Ayat ini pula sangat disarankan untuk diamalkan untuk melembutkan hati bukan sahaja suami isteri malah turut sesuai untuk ahli keluarga dan anak-anak. Sesuai juga diamalkan buat anak-anak yang sedikit degil. Sewaktu dia tidur, baca ayat ini dan hembuskan pada ubun-ubunnya agar dia menjadi anak yang lebih mendengar kata.
3. Doa Bahagia Suami Isteri
“Katakanlah (Muhammad), “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. – Ali-Imran, 31.
Ayat-ayat untuk mengikat kasih dan sayang ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sebagai hamba-Nya, niat dan tujuan kita mengamalkannya haruslah betul untuk memohon bantuan daripada Allah S.W.T.
Amalkanlah ayat ini setiap hari terutamanya dalam waktu-waktu seperti anda sedang mengurut badan pasangan anda. Niatkan supaya pasangan anda akan sentiasa setia, menyayangi dan mencintai anda.
Maksud Kasih Sayang
Jika soalan ini ditanya kepada anda, apakah definisi kasih sayang, apa agaknya yang akan menjadi jawapan anda? Mungkin setiap individu mempunyai definisi kasih sayang yang berbeza.
Namun, ia tetap membawa kepada keadaan dimana adanya mengasihi dan dikasihi serta menyayangi dan disayangi. Semuanya melibatkan hati dan yang menguasai semua hati ini adalah Allah S.W.T. Jadi, tidak kira apa sekalipun maksud kasih sayang anda, anda tetap perlu memintanya kepada Allah S.W.T selagi mana ia tidak melanggar syarak.
Kepentingan Kasih Sayang
Didalam sebuah rumah tangga atau institusi kekeluargaan, kepentingan kasih sayang ini tidak dapat dinafikan lagi. Untuk membina ummah yang saling mengasihi dan bersatu padu, ia haruslah bermula daripada keluarga itu sendiri.
Lakukanlah aktiviti yang boleh memupuk perasaan ini seperti:
a. Makan Bersama-sama
Ramai sebenarnya yang mengabaikan aktiviti mudah ini. Waktu makanlah waktu dimana anda dapat berkumpul bersama-sama dan berkongsi cerita akan apa yang berlaku setiap hari.
Gunakanlah masa ini juga untuk bertanyakan hal seperti pelajaran, masalah dan berikan nasihat kepada anak-anak. Jika anda masih lagi berdua, gunakanlah kesempatan ini juga untuk bertanyakan bagaimana hari pasangan anda pada hari tersebut.
b. Membaca
Bagi anda yang mempunyai anak kecil, cubalah untuk memperuntukkan masa untuk menemani mereka membaca buku. Selain menjadikan aktiviti bersama lebih berkualiti, ia juga mampu untuk membantu mereka mengasah kemahiran berkomunikasi.
c. Solat Berjemaah
Jika anda tanya mana-mana keluarga yang anda rasakan mereka sangat bahagia dan harmoni, cuba anda tanyakan apa kunci utama dalam kehidupan mereka. Pasti mereka akan menjawab solat berjemaah.
Ia bukan sahaja memberikan contoh teladan yang baik kepada anak-anak, malah ia juga mampu menimbulkan rasa hormat kepada suami atau bapa sebagai ketua keluarga kerana mampu memimpin solat berjemaah.
Jika anda mempunyai anak lelaki yang sedang membesar, boleh juga gunakan aktiviti ini untuk memberikan mereka peluang untuk menjadi imam. Secara tidak langsung, ia mampu untuk membentuk keperibadian dan meningkatkan keyakinan mereka.
Kesan Kurang Kasih Sayang
Kita sendiri dapat lihat pada masyarakat sekeliling seandainya sesebuah perkahwinan yang dibina itu kurang kasih sayang. Pasti akan berlaku terlalu banyak isu diantara suami isteri dan juga anak-anak.
Ada yang anak-anaknya terbiar dan terlibat dalam masalah sosial. Kadang-kadang, bukanlah mereka sengaja untuk melakukan sedemikian. Tekanan hidup dan ekonomi membuatkan mereka tiada masa untuk melakukan aktiviti pengikat kasih dan sayang ini. Ditambah pula dalam keadaan masing-masing keletihan mencari rezeki, maka mudahlah untuk berlakunya perselisihan faham.
Sebab itulah doa pengikat kasih sayang ini harus dijadikan amalan. Hanya dengan bantuan Yang Maha Esa sahajalah semuanya akan dipermudahkan. Sama-samalah kita berusaha sehabis baik kita untuk memastikan rumah tangga yang dibina dan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini dapat kita jaga dengan sebaiknya.