
Sebagai suami, perkara utama yang perlu diingat adalah tarikh-tarikh keramat bagi isteri. Memang tidak dapat dinafikan sebagai lelaki, kita mudah terlupa akan tarikh-tarikh penting sebegini. Tarikh lahir sendiri pun boleh lupa.
Namun, ia akan menjadi sebuah senario yang sangat berbeza jika ia melibatkan isteri anda. Andai terlupa, jangan pelik pula jika tiba-tiba isteri anda merajuk, memberontak, menangis atau mengamuk!
Dah memang salah kita sendiri, kena terima apa sahaja yang akan dilakukan oleh si isteri. Wanita memang sentiasa dahagakan perhatian daripada pasangannya. Setiap masa, setiap hari tak pernah jemu. Jika tidak, bukanlah wanita namanya tu.
Oleh itu, pada penulisan kali ini suka untuk saya kongsikan 3 tarikh penting yang wajib suami ingat setiap masa walau di mana jua anda berada. Ingat, jangan sesekali terlupa tarikh-tarikh ini walaupun sesaat!
1. Kali Pertama Bertentang Mata

Saya mendoakan semoga anda masih ingat bila waktunya kali pertama anda bertentang mata dengan isteri. Di mana agaknya pertemuan itu berlaku? Lebih baik jika anda boleh ingat apa yang membuatkan anda berdua bertemu pada tarikh tersebut.
Sebenarnya ramai suami yang dah terlupa akan tarikh pertemuan dengan isteri. Termasuk diri saya sendiri sebelum ini. Setelah puas cuba untuk undur ke masa lalu barulah teringat semula tarikh pertemuan dengan isteri iaitu pada 13 Disember.
Nampak macam hebat kan? Tapi sebenarnya tahun bila kami bertemu, saya dah lupa.
Jika anda masih ingat tarikh pertemuan, bersyukurlah. Tak perlu nak pening kepala berbaring sambil meletak tangan di atas dahi dan cuba untuk mengimbau segala kenangan lalu untuk cuba mengingati tarikh pertemuan penuh makna tersebut.
Kalau dah betul-betul tak ingat, ada satu strategi yang anda boleh gunakan untuk buatkan anda kelihatan kurang bersalah. Hanya sesuai untuk mereka yang sudah berumur ye.
Anda boleh buat-buat tanya pada si isteri akan detik pertemuan tersebut. Tanya samada dia masih ingat atau tidak. Cuba tanya soalan yang agak rumit sikit seperti dimana, apa aktiviti yang dilakukan pada waktu tersebut atau soalan-soalan lain yang sesuai sebelum anda selitkan soalan berkenaan tarikh.
Walaupun ini merupakan cara paling cepat dan tepat untuk dapat jawapan, pastikan anda telah bersiap sedia untuk menerima akibatnya jika terkantoi bahawa anda sudah terlupa akan tarikh tersebut.
2. Ulangtahun Kelahiran Isteri

Biasanya untuk perkahwinan yang berusia kurang daripada lima tahun, potensi untuk terlupa tarikh lahir si isteri adalah sangat rendah. Biasalah kan. Masih dalam fasa romantis dan dilamun cinta lagi. Semuanya manis belaka.
Saat perkahwinan mulai dihimpit dengan berbagai komitmen, tanggungjawab dan urusan anak-anak, tidak mustahil untuk kita terlupa. Bukanlah bermaksud terlupa jika ditanya tidak mampu untuk memberikan jawapan.
Tapi tak pelik juga jika ada yang terus terlupa. Sepanjang saya menghantar kiriman surprise sejak beberapa tahun yang lalu, saya sering menerima tempahan disaat-saat akhir dan alasan yang paling popular diberikan adalah terlupa tarikh birthday isteri. Baru teringat.
3. Ulangtahun Perkahwinan

Sejujurnya ketika menulis perkongsian ini, saya masih ingat lagi tarikh ulangtahun perkahwinan. Namun saya dah lupa berapa lama usia perkahwinan sehingga kini. Kena ambil sedikit masa 1-2 minit untuk menghitung. Anda pula bagaimana?
Masih ingat bila tarikh ulangtahun perkahwinan dengan isteri?
Jika ingat, tunggu apa lagi. Fikir dan siap sedia dari sekarang untuk buat sesuatu diluar kebiasaan seperti memberikan kejutan atau surprise buat isteri. Jika anda perlukan idea apa yang boleh dilakukan untuk kejutan buat isteri, hubungi sahaja saya. Saya sedia membantu.
Rasanya itu sahaja perkongsian kali ini mengenai 3 tarikh keramat yang wajib suami ingat. Nak tahu apa yang menarik jika anda berjaya ingat? Anda dapat memenangi hati si isteri dan membuatkan hatinya berbunga riang.
Memang nampak macam simple je benda ni namun kesannya sangat luar biasa terhadap emosi si isteri. Apalah salahnya juga kan untuk anda memberikan hadiah atau kejutan pada tarikh-tarikh tersebut. Bahagiakan isteri, anda juga akan turut bahagia nanti.
Semoga apa yang dikongsikan ini memberikan manfaat buat anda.

