fbpx

Sedih? Jom Baca Ayat Al-Quran Tentang Ujian

Dalam musim pandemik seperti sekarang ini, terlalu ramai sebenarnya yang mulai berasa sedih dan serba tidak kena. Terasa seperti terlalu banyak masalah dan ujian yang datang menimpa. Mungkin ayat al-quran tentang ujian ini mampu untuk tenangkan hati anda.

Banyak sebenarnya kelebihan al-quran ini. Setiap janji dan jaminan yang diberi jika difahami sedalam-dalamnya pasti akan membuatkan hati ini tidak lagi perlu untuk berasa sangsi dengan segala ujian daripada Yang Maha Esa.

Pasti ada hikmah untuk setiap apa yang berlaku terhadap diri kita ini. Begitu jugalah apa yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T menerusi ayat al-quran tentang ujian ini. Sesiapa yang mencari masa pasti akan mendapat kelebihan membaca al-quran ini dimana hati mereka akan lebih tenang kerana semua yang berlaku sudah diberikan jawapan dan jaminan daripada Allah S.W.T bahawa pasti akan ada hikmah dan ganjaran di sebaliknya.

1. At-Taubah Ayat 40

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah selalu bersama kita.”

Ringkas namun sangat mendalam maksudnya. Jika Penguasa Alam ini memberikan jaminan bahawa dia sentiasa berada bersama kita, apa lagi yang perlu kita risaukan? Apa lagi yang perlu kita takutkan?

Saat kita menghadapi ujian, mustahil untuk kita langsung tidak berasa sedih atau risau. Namun mungkin bermula daripada saat ini, kita sematkan ayat ini didalam hati dan hayati dengan sebaiknya dengan mengembalikan segalanya kepada Allah S.W.T kerana apa yang terjadi adalah ketetapan daripada-Nya.

2.  Al-Baqarah Ayat 155-156

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang orang yang sabar, yaitu yang ketika ditimpa musibah mereka mengucapkan : sungguh kita semua ini milik Allah dan sungguh kepada Nya lah kita kembali.” 

Sabar merupakan satu sifat terpuji yang tidak ada pada diri setiap insan. Saat ditimpa ujian, ramai diantara kita yang segera menyalahkan diri sendiri, mereka di sekeliling dan juga takdir.

Tidak ramai sebenarnya yang dapat berlapang dada saat menerima ujian ini kerana kita semua merupakan insan biasa. Namun, apa kata jika selepas ini kita cuba untuk bersifat dengan sifat orang yang beriman pula dengan berusaha untuk bersabar di atas segala ujian?

3. Yusuf Ayat 87

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus dari rahmat Allah melainkan orang orang yang kufur.”  

Setiap apa yang kita pinta daripada-Nya, pasti akan diberikan. Jika bukan sekarang, pasti akan diberikan suatu hari nanti pada masa dimana kita sangat memerlukannya. Jika bukan di dunia, di akhirat nanti pastinya akan diberikan jua.

Sebab itulah, apa sahaja yang berlaku terhadap kita ini, cubalah untuk tidak berputus asa dan berusaha dengan sehabis baik. Usaha, doa dan tawakal kepada-Nya. Pasti akan ada sinar di kemudian hari untuk kita.

4. Al-Insyirah Ayat 8

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu berharap.” 

Cuba kita imbas kembali berapa kali dalam hidup kita ini, kita berharap kepada selain daripada-Nya? Kebanyakan masanya kita tanpa sedar melakukan perkara tersebut. Kita sentiasa merasakan bahawa bos atau pelanggan kita yang memberi rezeki kepada kita. Tapi kita terlupa bahawa mereka semua itu hanyalah perantaraan semata-mata.

Ada juga yang terlalu yakin dan berbangga diri dan merasakan bahawa dia boleh melakukan apa sahaja. Keyakinan itu penting. Namun harus tetap ada juga pengharapan kepada Allah S.W.T.

5. Al-Mu’min Ayat 60

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Berdoalah kepada ku pastilah aku kabulkan untukmu.” 

Ramai daripada kita yang baru sahaja berdoa beberapa kali kemudian terus berhenti apabila belum dimakbulkan doa tersebut. Kita terlalu tergesa-gesa dan memaksa Allah S.W.T untuk memakbulkan segala doa kita.

Ada juga yang berburuk sangka dengan Allah S.W.T. Mereka merasakan Allah S.W.T tidak akan memakbulkan doa sedangkan didalam ayat ini, Allah S.W.T telah menjanjikan bahawa segala doa kita akan dimakbulkan. Tugas kita cukup mudah, berdoa.

Jika dengan manusia, manusia sangat muak dengan mereka yang suka meminta. Tapi tidak dengan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T lebih suka apabila kita meminta dengan-Nya.

6. Al-Imran Ayat 139

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang orang yang paling tinggi derajatnya jika kamu beriman.” 

Saat berlaku musibah atau ujian, ramai yang mengeluh dan mula menyalahkan diri sendiri. Sedangkan di dalam ayat ini Allah S.W.T telah menyatakan bahawa kita akan mempunyai darjat yang paling tinggi seandainya kita beriman.

Bersangka buruk terhadap diri sendiri sama seperti kita tidak cukup bersyukur dengan apa yang telah Allah S.W.T berikan kepada kita. Jangan risau. Setiap daripada kita Allah S.W.T telah jadikan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Gunakan kelebihan yang kita ada untuk mengharungi segala ujian yang mendatang.

7. Al-Baqarah Ayat 286 

Ayat Al-Quran Tentang Ujian

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”

Sudah jelas dalam ayat ini dimana Allah S.W.T tidak akan sesekali menzalimi hamba-hamba-Nya. Setiap ujian atau musibah yang berlaku kepada kita sebenarnya adalah apa yang kita mampu untuk menghadapinya. 

Sebab itulah tidak perlu bagi kita untuk berputus asa saat menerima ujian atau musibah tersebut. Yakinlah bahawa segala apa yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. 

Ingatlah, setiap kali kita menerima ujian atau musibah, kita perlu bersangka baik dengan Allah, bersabar, memperbanyakkan berdoa, berikhtiar dan bertawakal.

Bersyukurlah kerana setiap ujian dan musibah itu adalah tanda bahawa Allah S.W.T masih sayang dan ingat akan kita supaya kembali mendekatkan diri dengan-Nya.

Percayalah bahawa setiap kepayahan yang dilalui itu pasti ada kemudahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

We will be happy to hear your thoughts

Leave a reply

Logo
Register New Account
Reset Password