fbpx

Tentang Kami

Menghasilkan gubahan coklat dan belon helium bagi kejutan majlis hari lahir seorang rakan pada 2014 menjadi titik tolak buat seorang lelaki di Jementah, di sini, untuk menjalankan perkhidmatan kejutan dan belon.

Melihat potensi besar melalui konsep perniagaan seperti itu, pengasas Oh Balloon, Zahid Dol, 38, memanfaatkan peluang tersebut sehingga mampu memberi pulangan yang lumayan.

Menceritakan lebih lanjut, dia yang sebelum ini berniaga beg tangan wanita dan coklat buatan tangan sendiri di Bazar Karat Segamat terpaksa memikirkan alternatif lain apabila pengunjung ke bazar tersebut mula berkurang pada 2013.

“Saya mula cari idea dan pandangan daripada kawan-kawan jenis perniagaan yang boleh menarik minat orang ramai berkunjung ke Bazar Karat Segamat dan mula mencari pembekal belon dan gas belon.

“Saya belajar membentuk belon melalui Youtube dan cuba jual di Bazar Karat Segamat dan pada 2014, seorang kawan lama yang menetap di Kuala Lumpur minta saya beri kejutan hari lahir kepada ibunya,” katanya.

Menurutnya, dia yang dibantu isterinya Zaleha Samsudin, 37, mula mendapat permintaan daripada pelaggan untuk perkhidmatan badut terutamanya pada majlis hari lahir.

Lakukan pelbagai perniagaan

“Saya diuji dengan cabaran lain apabila rumah ibu bapa saya terlibat kebakaran dan musnah secara keseluruhannya dan inilah kejadian yang membuatkan saya betul-betul tersentak kerana tidak dapat bantu kedua ibu bapa saya.”

Katanya, sebelum menjalankan perniagaan Oh Balloon, dia juga pernah menjalan perniagaan lain sebelum ini seperti perniagaan jualan langsung secara pemasaran berbilang (MLM) dan juga perniagaan cuci kereta.

“Pada dua bulan pertama perniagaan cuci kereta saya gagal kerana pemilik kedai meminta kedai mereka semula sebelum saya meneruskan perniagaan MLM sehingga 30 Januari 2011.

“Ketika itu saya diuji dengan cabaran lain apabila rumah ibu bapa saya terlibat kebakaran dan musnah secara keseluruhannya dan inilah kejadian yang membuatkan saya betul-betul tersentak kerana tidak dapat bantu kedua ibu bapa saya,” katanya.

Zahid berkata, pada April 2011, dia cuba bangkit untuk mulakan kembali perniagaan tanpa modal dengan berbekalkan semangat dan sedikit kemahiran dengan menjalankan perniagaan secara atas talian dengan menjual beg tangan wanita.

Katanya, kesukaran kali pertama dihadapi peniaga baharu sepertinya adalah modal kerana dia bukan datang daripada keluarga peniaga dan itu adalah merupakan halangan pertama buatnya.

Bersama krew Oh Balloon di Politeknik Merlimau, Melaka

“Tapi saya jadikan cabaran ini sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha. Apa yang ada pada saya ketika itu saya gunakan untuk jalankan perniagaan termasuk semangat.

“Dengan sedikit usaha, Oh Balloon mula dikenali pada 2015. Saya gunakan sepenuhnya medium pemasaran secara dalam talian di laman web dan juga di laman sosial seperti Facebook dan Instagram,’ katanya.

Positif dengan persaingan

Menurutnya, selain dibantu isterinya, dia kini turut dibantu enam pekerja termasuk dua pekerja separuh masa.

Katanya, walaupun terdapat saingan dalam perkhidmatan kejutan dan belon ini, dia sentiasa berfikiran positif.

“Persaingan yang ada sedikit sebanyak memberi kesan kepada Oh Balloon, namun dengan adanya persaingan sebegini kami dapat meningkatkan lagi prestasi dan mutu kerja kami supaya sentiasa mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini juga, saya sering dikunjungi pelajar UiTM Segamat untuk melihat model bisnes Oh Balloon sebagai rujukan pelajaran mereka,” katanya.

Kunjungan pelajar UiTM Johor ke kedai Oh Balloon untuk rujukan pengajian mereka.

Artikel ini telah dikeluarkan di Sinar Harian, Rencana Usahawan Kita pada hari Selasa, 10 Julai 2018.

Insan biasa yang mempunyai pemikiran serta sudut pandang berbeza dan suka buat orang gembira.

Comments

Add a comment

mood_bad
  • No comments yet.
  • chat
    Add a comment
    keyboard_arrow_up